Monday, December 6, 2010

Misi Menjejak Wali Songo (6)

Bismillah.

"Orang Islam harus punya badan yang sihat." :)

6 November 2010, usai solat Subuh Abah memberikan sedikit perkongsian dan kehadiran kami dialu-alukan oleh warga perantren. Setelah itu kami dijamu sarapan pagi sebelum Abah dan Mak merancang membawa kami bersiar-siar di sekitar pesantren. Usai bersarapan, Abah berkongsi koleksi lagu-lagu Melayunya melalui radio sambil bersenam bersama anak-anak pesantren. Lucu dan menarik melihat gelagat Abah dan anak-anak (adik-adik bagi kami) bersenam ala-ala Pendekar Mustar dalam filem Laksamana Do Re Mi. Malah, aktivis lelaki turut sama bersenam bersama abah dan adik-adik.


Kembara kampung...~

Usai sarapan pagi untuk kali ke dua Ummi dan Abah (panggilan untuk Pak Kiyai) membawa kami berjalan-jalan ke sebuah sekolah rendah (Pesantren Al Munthohir) yang didirikan oleh Abah dan adik-beradiknya. Perjalanan mengambil masa hanya 5 minit dengan menaiki van sapu (disini dipanggil ‘angkot’) dan 15 minit jika berjalan kaki. Menurut cerita Ummi, anak-anak di sekolah ini kebanyakanya dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Ada juga dari kalangan anak-anak yatim. Maka sekolah ini dibina untuk membantu golongan yang kurang berupaya dari sudut ekonomi untuk mendapat pendidikan yang baik.

Selepas pertemuan bersama pelajar-pelajar Pesantren Al-Munthohir kami dibawa ke kebun milik Abah dan Mak dan merasai sendiri kehidupan kampung. Melihat pokok ubi (singkong) yang banyak, pucuk ubi dipetik sebagai lauk makan tengahari kami nanti. Seterusnya kami dibawa ke sawah ditemani Mak dan Bonda (Adik Mak). Perjalanan ke sawah dengan menaiki Angkot mengambil masa kira-kira 10 minit. Berputar-putar di kawasan kampung memang mendamaikan. Namun kami tidak dapat turun ke sawah kerana waktu itu adalah musim hujan dan banjir. Malah perancangan Bonda mahu membawa kami ke kawasan air terjun yang mempunyai kolam air panas, terpaksa juga dibatalkan akibat kekangan masa.

Pintu ke-5 Makan Sunan Gunung Jati.

Pulang dari ‘putar-putar’ (jalan-jalan) keliling kampung, kami makan tengahari dan bersiap untuk ke Makam Sunan Gunung Jati di kawasan Gunung Sembong. Di Makam Sunan Gunung Jati ini, pertama kali kami dikejar-kejar anak-anak kecil dan wanita-wanita peminta sedekah. Datang beramai-ramai dan memaksa-maksa kami memberi duit agak merimaskan. Apatah lagi apabila mengetahui bahawa kami ini adalah pelancong dari Malaysia bedasarkan nama yang tertera dibelakang ‘vest’ kami.

Disini kami agak terkeliru dengan maklumat seorang penduduk yang tiba-tiba datang mengiringi kami dan bercerita tentang Sunan Gunung Jati. Walaupun kurang selesa diekori namun kami masih juga bertanya beberapa soalan kepadanya.

Antara perkara yang menjadi persoalan adalah mengenai makam Sunan Gunung Jati adalah:
1. Lokasi sebenar makam Sunan Gunung Jati sama ada di Gunung Sembong atau di Gunung Jati yang terletak berhampiran.
2. Tidak dibenarkan naik ke makam tanpa kelulusan dari Sultan dan perlu memakai pakaian khas yang perlu dibayar.
3. Terdapat 9 pintu yang terpaksa dilalui sebelum tiba di makam dan kami hanya dapat melalui hingga pintu ke 5.
4. Makam isteri Sunan Gunung Jati yang berketurunan Tionghua (telah masuk Islam setelah berkahwin dengan Sunan Gunung Jati) yang tersiap tokong dan tempat penyembahan yang kononnya untuk menghormati keluarga isterinya yang beragama Budhha.

Lebih kurang jam 3 petang, kami bergerak pula mencari Toko Buku. Mengembara tanpa pemandu pelancong atau teman-teman tempatan agak menyukarkan. Namun kami teruskan juga walaupun hanya bertemu sebuah kedai buku yang menjual kitab-kitab lama.


Destinasi terakhir kami hari ini adalah di stesyen Kereta Api Cirebon untuk membeli tiket kereta api ke Semarang. Sememangnya salah satu perancangan kami adalah untuk merasai pengalaman mengembara dengan kereta api. Untuk membeli tiket disini, kami perlu mengisi bororang terlebih dahulu sebelum membeli di kaunter. Akhirnya setelah hampir sejam berbincang, kami membeli 7 tiket dengan harga 80 ribu rupiah setiap satu.

Dalam perjalanan pulang kami berdiskusi mengenai perjalanan sepanjang hari. Masih lagi, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki demi memastikan objektif misi tercapai. Hati dan niat masih kekal perlu dijaga, akal masih harus terus fokus pada setiap tugasan yang diberi. Malah, ingatan tentang kembara misi dan kembara rohani juga ditegaskan berkali-kali. Harapnya hari esok menjadi hari yang lebih baik dari hari ini. InsyaAllah.




:: Masih juga suka ketawa.. :D

2 comments:

Anonymous said...

Menjejak Para Wali, Menjejak Pengalaman, Pengetahuan, dan Spiritual.
Moga silaturahim ini kian rekat.

Muhadz like Art. said...

Salam Gerakan Persatuan Islam Nusantara,.............

Relapse

  Paling malas nak layan relapse. Tapi benda tu tetap ada. Tergantung-gantung sampai sakit dada & kepala. Relapse bukan bermaksud tak be...