1 November 2010 (Isnin)
Lapangan Terbang Kuala Lumpur-Yogjakarta-Klaten
Bismillah.

Bangunan-bangunan besar yang tadinya meninggi di kanan kiri, kini jadi kecil dan hampir tidak kelihatan. Tanah semakin jauh ditinggal ke udara. Semakin lama semakin tinggi. Mencapai awan. Takjub. Syukur. Dan dengan nafas sedar insani, pencipta agungnya adalah Tuhan.
Akhirnya Tanah Jawa terjejak juga. Apapun, tugasan sebenarku telah bermula sejak di lapangan terbang lagi (sebenarnya sebelum dari itu lagi-setelah aku membuat keputusan menyertai kembara ini). Belajar menguruskan itu dan ini. Mengambil boarding pass, check-in, membuat liputan dokumentari, segalanya dipaksakan terlatih secara praktikal. Seakan sedar, ini bukan waktu berteori lagi, lalu digagahkan juga kaki. Tugasan, amanah, tanggungjawab, terlalu banyak untuk terlepas begitu saja. Allahurabbi!
Jam 9.30 waktu Malaysia, kapal terbang benar mendarat di landasan walau dibawa oleng-olengnya melakukan pusingan demi pusingan akibat kesesakan laluan udara di lapangan Terbang Yogjakarta. Namun pusingan penuh syahadah ketakjuban melihat keindahan gunung-ganang, tasik,sungai, hutan, malah gunung merapi yang sedang aktif. Terdetik dalam hati, izinkan aku melihat lebih dekat ya Allah.
Usai melepasi segala prosedur di lapangan terbang, kami dibawa terus oleh wakil Dewan Dakwah ke rumah Pak Rifae’. Dalam perjalanan ke Klanten (Daerah tempat kami menginap), Gunung Merapi disisi kiri menjadi tumpuan utama kami. Sedang asyik menikmati pemandangan dan melihat ke Gunung Merapi, tiba-tiba Gunung Merapi meletus lagi. Tepat jam 11.05 pagi waktu Malaysia dan cukup kuat untuk membuatkan kami terkejut kerana ia berlaku benar-benar dihadapan mata. Van diberhentikan ditepi jalan bagi membenarkan kami membuat liputan dan mengambil gambar. Allahuakhbar.
Dalam debar, kami meneruskan perjalanan ke rumah Pak Rifae’-antara orang besar yang menerajui Dewan Dakwah Islamiyyah, Indonesia (DDI). Bersama Pak Rafae’ yang kekabutan mengurus soal Gunung Merapi, kami dinasihati untuk lebih berdikari dalam melaksanakan misi. Kerna waktu ini, sekalian NGO, pertubuhan-pertubuhan dan persatuan sedang sibuk membantu mangsa-mangsa letusan Gunung Merapi sejak seminggu lalu.
Setelah berbincang dan solat, kami dibawa ke POSKO (Pusat Komando) yang merupakan penempatan sementara mangsa-mangsa Gunung Merapi sejak seminggu yang lalu. Terdapat tiga POSKO dibina oleh Dewan Dakwah dan berpuluh-puluh lagi dibina oleh persatuan-persatuan dan NGO lain. Disini pengelibatan NGO, dan persatuan-persatuan adalah sangat aktif dalam membantu mangsa bencana Merapi. Alhamdulillah, kami masih juga berkesempatan berada pada jarak 8 kilometer dari kaki Gunung Merapi dan membuat liputan disana dibantu Pak Sufian (sukarelawan Dewan Dakwah).
Dari POSKO Dewan Dakwah van kami ditumpanggi barangan untuk dibawa ke POSKO Bawakan berupa alas tidur, bantal dan selimut. Perjalanan mengambil masa selama sejam. Di POSKO Bawakan kami sempat menemubual beberapa orang sukarelawan yang terdiri dari mahasiswa-mahasiswa kolej dan Universiti. Melihat kepada semangatnya mereka membantu mangsa-mangsa ini, timbul niat didalam hati untuk bersama-sama mereka membantu di POSKO. Namun perencanaan manusia, Allah juga yang menentukannya.
Malam itu, kami terus di hantar ke rumah tumpangan di Daerah Klaten. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar pada hari pertama walaupun masing-masing sedang cuba untuk mendapatkan rentaknya untuk misi ini.
:: Rahmatan lil 'alamin~