Tipikal..
Ramai yang bertanya apa kisahnya aku di Sabah. Masing-masing menganggap aku tinggal di dalam hutan - kawasan pendalaman maksudnya. Tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan di pejabat. Menguruskan program-program turun lapangan dari A hingga Z. Dari membuat kertas kerja, mecari dana, menguruskan kerja-kerja teknikal, menguruskan sukarelawan dan sebagainya. Bunyinya macam susah, tapi memang tak mudah. Yang penat, bukan fizikal, tapi otak. Dan akhirnya, syukur Alhamdulillah. Allah berikan sesuatu bedasarkan tahap kemampuan kita.
Alhamdulillah, minggu lepas kami mulakan Kem Iqra' siri 1, Kg. Sumbilingon, di Ranau. Juga ceramah kesihatan di Kg. Tanid (10 minit perjalanan dari Kg. Sumbilingan). Jadi, sukarelawan dibahagikan kepada dua kumpulan. Soal modul, yang asasnya sudah aku berikan awal-awal lagi. Itu sahaja komitmen yang aku serahkan kepada sukarelawan sewaktu program. Kerah idea mengaplikasi modul sekaligus menyampaikan segala macam ilmu yang ada untuk membantu saudara-saudara baru disini untuk lebih memahami Islam dan memotivasikan mereka untuk mempraktikannya dalam kehidupan harian.
Ada apa di Sumbilingon dan Tanid?
Secara geografinya, dua kampung ini adalah antara kampung yang paling hujung yang pernah diteroka oleh ABIM. Tiga jam perjalanan - dengan jalan tanah merah - dari pekan Ranau dan pengangkutan awam yang ada hanya van (bas carter). Kawasan perumahan di sini boleh dikatakan dalam skala yang rapat dan agak dhaif (jika dibandingkan dengan rumah kita). Rumah berdinding papan, kayu rotan atau buluh dengan atap daun nipah. Banyak juga rumah yang beratap zink yang membezakan taraf ekonomi antara masyarakat disini.
Yang bersekolah rendah, ke sekolah sama ada dengan berjalan kaki atau menaiki bas carter. Sekolah rendah yang terdekat dikongsi oleh lebih 10 buah kampung. Kanak-kanak di sini pula, permainannya adalah apa yang ada di tangan, di hutan dan di sungai. Sumber air mereka beasal dari kawasan gunung yang disambung paip ke rumah masing-masing. Jangan ditanya jika bekalan air selalu terputus. Apapun, masih ada sungai untuk mandi. Manakala, sumber elektrik diperolehi dari tenaga solar. Oh ya, satu lagi perkara penting, di sini tiada 'line Celcom' *This is not celcom territory*. Harap maklum.
Di Kg. Sumbilingon, telah pun didirikan sebuah surau dan rumah milik ABIM. Ini untuk memudahkan mana-mana NGO untuk mengadakan program. Kata Ust. Sabri, inilah kampung yang pernah di jejaki oleh orang-orang besar ABIM dan PKPIM. Ya, presiden ABIM, Sdr. Amidi dan Presiden PKPIM, Sdr. Fahmi sudah pun sampai di kampung ini.
Ini kali lah! (kalau bukan sekarang bila lagi?)
Dai'e kreatif
Lumrah menjadi kaum 'pengajak' ; da'ie, takkan pernah ada jalan mudah dan pintas. Walaupun di KK ada jalan yang dinamakan 'Jalan Pintas'. *Ok. Abaikan*. Sekuat mana pun kita merancang, perancangan Allah adalah lebih hebat dan terbaik.
Sewaktu kami tiba di Sumbilingon, waktu sudah hampir menunjukkan jam 6.00 petang. Sudah hampir waktu Marghrib. Kaum Ibu dilihat sedang membuat atap dari kayu dan daun nipah. Bergotong-royong. Apabila waktu solat masuk, kami berjemaah beramai-ramai di surau. Namun, kehadiran penduduk kampung masih boleh dihitung.
Hingga ke hari Sabtu, semuanya semakin faham - da'ie pasti diuji kemampuannya menyampaikan ilmu yang benar, berhadapan dengan perbezaan pemikiran dan kehidupan. Perbezaan sikap dan sifat. Kehadiran yang tidak kena masa dan diuji kekuatan fizikal untuk berjalan dari rumah ke rumah menyampaikan risalah-risalah ibadah.
Menjelang hari Ahad, dewan dipenuhi golongan Ibu dan Bapa. Sesi soal jawab agama berlangsung dengan baik. Kata sukarelawan yang bertugas, penduduk di sini sebenarnya sangat bersemangat untuk belajar, tetapi kerana kurangnya dorangan, mereka tidak istiqamah dalam melaksanakan ajaran Islam. Mereka juga sangat suka jika ada orang luar yang datang mengajar. Terasa seperti kebajikan mereka dijaga. InsyaAllah.
Ust. Sabri (ABIM Ranau) antara yang banyak memberikan pencerahan sepanjang program, banyak membantu semangat sukarelawan untuk terus menyumbang, memberi dan bersyukur sebanyak-banyaknya dengan keadaan yang ada. Ruang dan peluang dakwah itu sentiasa terbuka luas. Kerana dakwah pertama itu adalah kepada diri sendiri.
Tiga hari sebenarnya terlalu singkat untuk menyampaikan apa yang sepatutnya menjadi keperluan di sini. Namun semangat yang ditunjukkan oleh para sukarelawan sangat memberangsangkan walaupun pulang kami di uji dengan tayar pacit dan pecah sebanyak dua kali. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja walapun kami sampai ke pekan Ranau sewaktu Marghrib. Allah sahaja sebaik-baik tempat bergantung.
Allahu'alam.