Bismillahirrahmanirrahim.
Sungguh-sungguh saya kata.
Langit Nabawan memang indah.
Travelog Nabawan
Muqaddimah
Sebulan lalu saya dihubungi oleh adik-adik Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) untuk sama-sama menyertai Program Iqra’ anjuran mereka di Kampung Pandiwan, Nabawan, Sabah. Mewakili PKPIM saya kira penyertaan saya bukan sekadar memenuhi tempat, tetapi ia lebih lagi dari itu. Malah sebenarnya perbincangan mengenai program ini telah pun bermula sejak kehadiran saya ke Sabah untuk Program Seminar Pemerkasaan Mahasiswa, November lalu. Secara teknikalnya, itulah asbab kecil kenapa saya yang dipilih mewakili PKPIM. Namun, segalanya adalah rencana Allah. Saya yakin ada asbab yang lebih besar apabila Allah mentakdirkan keterlibatan saya dalam program ini. Saya sedang mencari.
Pra-Program
Seminggu sebelum program saya masih bertungkus-lumus di pejabat bersama sahabat-sabahat PKPIM menyiapkan tugasan untuk Mesyuarat Selari dan Majlis Kebangsaan Pelajar Islam. Antara agenda penting dalam gerak kerja PKPIM. Alhamdulillah, setelah selesai kedua program tersebut, saya sempat membuat beberapa persiapan mental sebelum terbang ke Sabah. Malah, saya amat berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang banyak menyumbang idea dan cadangan aktiviti untuk membantu saya melaksanakan tanggungjawab di sana nanti.
17 Februari 2012
Saya terbang ke Sabah dengan penerbangan MAS yang telah ditempah sejak sebulan yang lalu. Meninggalkan bumi semenanjung dengan sedikit amanah yang tidak selesai agak merunsingkan. Mujur sahabat-sahabat yang di tinggalkan cukup memahami dan sangat banyak membantu. Terima kasih. Alhamdulillah. Tak lupa juga untuk saya ucapkan terima kasih kepada Arina yang menemani saya ke KL Sentral dan Pakcik teksi yang menghadiahkan saya pen untuk saya menulis travelog ini. Moga Allah merahmati kehidupan mereka. Amen.
Saya tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu lebih kurang jam 10.30 malam. Sempat menunaikan solat Marghrib dan Isya secara jamak takhir di surau yang disediakan sementara menunggu ketibaan adik-adik SISMA. Farahwahid, Amira dan Ramzy tiba tidak lama selepas saya selesai bersolat. Saya terus dibawa ke kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk berehat. Di Kampung E (kolej kediaman), UMS saya bertemu dengan adik-adik SISMA yang lain; Azimah, Myzra dan Najwa.
Rabu, 18 Februari 2012
Aktiviti hari ini adalah membeli belah barangan keperluan untuk sepanjang program di Nabawan nanti. Saya, Amira dan Shazzny singgah di pejabat ABIM Sabah di sambulan sebelum menghabiskan sepanjang petang mengelilingi Kota Kinabalu untuk membeli makanan mentah untuk program. Mengikut perancangan, pada hari ketiga program akan diadakan ‘kenduri’ bersama semua penduduk kampung. Oleh itu bahan makanan mentah yang dibeli banyak bedasarkan permintaan dari penduduk kampung sendiri. Bantuan dana dari UMS sangat banyak membantu. Apatah lagi program ini merupakan program kerjasama antara SISMA dan Majlis Perwakilan pelajar (MPP), UMS.
Khamis, 19 Februari 2012
Aktiviti pagi ini masih lagi untuk membeli barangan keperluan sepanjang program. Meronda di sekitar Kota Kinabalu dari kedai ke kedai, ada penat yang berbaloi. Petangnya kami sempat berusrah bersama YDP ABIM Sabah, Dr. Abdullah Bade di pejabat beliau di UMS. Di sini saya bertemu sahabat-sahabat SISMA yang lain; Yasir dan Wahid. Pesan Dr. Abdullah:
“Jangan risau. Islam ini bukan agama siapa-siapa. Bukan agama kamu..kamu atau kamu.. Islam ini agama Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk agama-Nya. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita yang mahu membantu agama-Nya. Allah akan bantu kita. Allah sudah pun membantu sebenarnya. Yang penting yakin dan ikhlas.”
Semacam satu suntikan semangat untuk menjalankan program Iqra’ pada esok hari. Sempat juga kami makan malam bersama selepas usrah dan menyiapkan peralatan teknikal di pejabat MPP UMS sehingga pagi. Moga Allah memelihara kami sepanjang perjalanan ke Nabawan esok. Ameen.
Bersambung…
0 komen untuk a.K.u:
Post a Comment