Bismillahirrahmanirrahim.
Meraikan Syawal sambil dihadapkan dengan rencah hidup manusia yang pelbagai, banyak membuka mata dan minda. Soal keluarga terdekat yang tidak di benarkan berkahwin hingga terpaksa turun-naik mahkamah. Soal adik-adik yang dilamar. Soal masa depan kehidupan yang hanya bukan berdua, tetapi tiga, empat, lima, tetapi ramai. Soal anak-anak. Soal kerjaya. Soal rumah tangga.
Soal nikah kahwin - sentiasa punya rencah tersendiri. Ini sekadar perkongsian untuk adik-adik yang sedang memikir soal 'jodoh' dan 'pilihan'. Antara apa yag kita perlu dan kita mahu.
Sepanjang hidup, saya sudah 'set' dalam kepala, saya takkan benarkan diri saya 'bercinta' atau dengan kata lain 'bercouple'. Jika ada mana-mana lelaki yang datang menawarkan diri, insyaAllah akan saya terima jika benar 'niat'nya adalah untuk bernikah. Itu benteng yang saya letak dalam diri supaya tidak terjebak dengan perkara yang salah.
Ya, itu soal prinsip. Tapi hidup ini adalah ujian. Bercinta dengan yang bukan hak itu haram, tapi jatuh cinta tidak salah. Tipu kalau saya katakan saya tidak pernah teruji dengan perkara-perkara begini. Tapi bila kita berusaha menjaga hak Allah, Allah pasti akan jagakan kita kembali. InsyaAllah.
Saya bukanlah manusia yang cukup bagus untuk mendapatkan jodoh yang 'bagus gila'. Tapi saya berusaha agar CARA ke arah pencarian 'jodoh' itu adalah CARA yang paling bagus - yang paling berkat untuk mencapai matlamat yang paling bagus - untuk akhirat. InsyaAllah.
Dan ini sebenarnya menuntun mujahadah yang maha berat. Bermula dari faham matlamat, perbetulkan niat, menuntut ilmu, perbaiki diri dan istiqamah dengan kebaikan - semuanya menuntun mujahadah dan pelbagai bentuk ujian untuk dilalui. "Biar kalah, tetapi jangan mengalah." Jangan mengalah untuk mengejar kebaikan maksudnya. Itu pesan 'dia' pada saya setiap kali saya jatuh.
Maka itu, saya kerap ingatkan pada diri, 'Jika niatnya betul, pasti Allah bantu. Yakin saja." Tapi untuk menjaga niat itu pun bukan soal mudah. Ditambah jika berlawan dengan kehendak diri. Allah sahaja sebaik-baik pembantu.
Itu sahaja yang saya ada ; yakin pada DIA. Dengan doa yang tidak pernah putus supaya hati itu kekal lurus di jalan-Nya, saya serahkan segala rencah hidup saya pada DIA. Manis, masam, manis, pahit dan kelatnya pasti ada. Tapi saya yakin DIA akan uruskan semuanya. Selagi saya kekal 'setia'. InsyaAllah. Ameen.
"Doa seorang Muslim sentiasa ada tempat dimata-Nya" -Anonymous
Dan saat ini, walaupun masih belum ada waktu yang pasti, tetapi usaha ke arah itu tetap ada. Dan kami sedang mentarbiyyah diri - jika Allah takdirkan ini, maka Alhamdulillah, jika tiada maka kami sentiasa berdoa agar dijadikan diri sebagai hamba yang redha. Ini doa kami setiap hari.
*Sesekali terkesan pada hati : "Setiap episod hidup itu adalah tarbiyyah dari Allah untuk mempersiapkan diri berhadapan dengan sesuatu yang lebih besar."
:: Doakan kami... :)

No comments:
Post a Comment